Daisypath Anniversary tickers
Lilypie First Birthday tickers

Wednesday, July 9, 2014

PERBEZAAN VITAMIN SINTETIK DAN NATURAL.


PERBEZAAN VITAMIN SINTETIK DAN NATURAL.

Tahukah anda lebih 95% vitamin di pasaran adalah sintetik? Jadi tujuan saya tulis post ini bukan untuk menghentam peniaga supplement, tetapi bagi menyebarkan pengetahuan supaya anda tidak tertipu.
Sebagai peniaga, sila bertanggungjawab sebelum membuat kenyataan bahawa produk anda adalah 'organik', 'natural' dan menakut-nakutkan pengguna bahawa vitamin/supplement daripada klinik/farmasi adalah tidak selamat seperti obimin/iberet dan sebagainya.
Masa untuk sesuatu ubat/vitamin mengalami 'disintegration' bergantung kepada formulasinya. Bukan bermakna bila vitamin itu cepat larut di dalam air, maka vitamin itu bagus dan yang lambat tidak bagus.
Disintegration time ataupun masa yang di ambil untuk sesuatu ubat/vitamin larut selalunya bergantung kepada absorption site (kawasan penyerapan). Semuanya telah di ambil kira ketika membuat sesuatu formulasi. Maka ada sesetengah vitamin/ubat larut minyak dan ada juga yang larut air.
Sebagai contoh, sekiranya vitamin/ubat itu diformulasikan untuk di serap di kawasan usus, vitamin/ubat akan mempunyai 'disintegration time' yang panjang dan tahan daripada asid dalam perut supaya tidak tercerna. Begitu juga sekiranya vitamin/ubat diformulasikan supaya 'sustain-released', masa yang diambil untuk vitamin/ubat berada di dalam badan akan menjadi panjang.
Bagaimana untuk mengetahui perbezaan vitamin sintetik ataupun natural?
Adakah vitamin sintetik berbahaya?
Vitamin sintetik berbahaya sekiranya di ambil secara berlebihan lebih-lebih lagi jenis larut minyak kerana ia boleh terkumpul di dalam tisu lemak. Pengambilan secara terkawal sepatutnya tidak mendatangkan masalah kerana vitamin yang tidak diperlukan akan dikeluarkan oleh badan.
Supplement tak kira apa juga jenama boleh digunakan asalkan anda tahu kepentingan pengambilannya. Ambil secara moderasi bukannya secara berlebih-lebihan.
Kepada ibu mengandung, vitamin yang selalunya diberikan adalah hematinic iaitu agen pembentukan darah yang terdiri daripada 4 jenis, folic, ferrous, vitamin b dan vitamin c (untuk membantu penyerapan ferrous).
Sekali lagi ditegaskan, tujuan post ini bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak akan tetapi untuk memperbetulkan persepsi dan salahfaham. Untuk mendapatkan vitamin secara organik adalah secara diet dan pemakanan, bukanlah daripada sebarang produk yang mengaku 'organik'.
Secara lojiknya untuk mendapatkan 10% bahan yang anda gelar 'pure' 'organik', masih akan terdapat 'impurities' dan bahan yang tidak organik di dalam formulasinya.


Nota kaki:
Organik hanya bila anda mendapatkan vitamin-vitamin tersebut daripada pemakanan, sayur, minyak ikan, daging dan sebagainya.



Monday, July 7, 2014

Perkhidmatan Kesihatan di Malaysia


PERKHIDMATAN KESIHATAN DI JERMAN VS MALAYSIA

Ada beberapa entri daripada saudara KA menjadi viral di dalam media fb seperti mengenai TAX serta PERKHIDMATAN KESIHATAN. Sebenarnya sistem Jerman tak jauh bezanya dengan United Kingdom. Cuma klinik di sini taklah se-gah di Jerman. Sebab di Jerman klinik dan hospital semuanya di swastakan.

Sebelum membaca entri saya ini yang insyaAllah akan ditulis secara formal, saya rasa ada baiknya anda baca entri daripada saudara KA. Link telah saya berikan di bawah gambar.

Sedikit terpukul dengan kenyataan  beliau seperti di bawah ini;

"Servis yang terbaik hanya boleh diberikan oleh pekerja kesihatan itu sendiri iaitu para jururawat dan juga doktor. Servis terbaik ini boleh dicapai melalui sikap amanah dan jujur ketika bekerja. Jika bekerja dijadikan satu ibadah, InshaAllah kita akan memberikan sepenuh tumpuan dan berkhidmat dengan penuh cemerlang. Jika bekerja dianggap hanya “makan gaji” untuk terima gaji setiap bulan, kita tidak akan dapat memberikan khidmat atau servis sebegitu. Kita tidak peduli dengan kerjaya kita, yang kita tahu cukup bulan dapat gaji."

Adakah ini bermakna kami di bahagian kesihatan tidak bersikap amanah? Tidak jujur ketika melakukan kerja? Adakah kami tidak mempedulikan kerjaya kami?

Lantas menyebabkan servis kami begitu teruk dan tidak seperti yang sepatutnya?

Jangan pukul rata sesuatu perkara tanpa menyelidik terlebih dahulu. Sebelum saya menulis lebih panjang, saya akan terangkan perbezaan sistem kesihatan Malaysia dengan Jerman dan United Kingdom, mengapa sistem di negara barat ini mampu memberikan servis yang lebih baik.

Sistem Temujanji

Antara perkara yang paling menggembirakan saya di United Kingdom adalah betapa amannya klinik serta bank di sini. Semuanya kerana sistem Temujanji yang tidak terdapat di Malaysia. Bukannya tidak terdapat tapi tidak dipatuhi oleh rata-rata rakyat Malaysia. Semuanya ambil enteng dan 'walk-in' sesuka hati. Sebagai contoh, pesakit kronik seperti Kencing Manis dan Darah Tinggi selalunya diberikan temujanji 3 bulan sekali akan tetapi kes-kes defaulted terlalu tinggi dan ramai yang datang bukan pada waktu sepatutnya.

Bagi mengurangkan lambakan pesakit, pesakit Kencing Manis sahaja selalunya diberikan temujanji pada waktu pagi tetapi ada saja pesakit Darah Tinggi yang datang tidak mengikut waktu yang telah ditetapkan. Ada juga yang sepatutnya datang untuk membuat BSP, mengambil darah pada waktu pagi tapi semuanya datang pada waktu petang.

Semua ini menyebabkan lambakan pesakit dan servis menjadi lembab.

Selain faktor tidak mengikut waktu temujanji sepertimana yang telah ditetapkan, di Malaysia orang ramai boleh ke mana-mana klinik kesihatan untuk sakit biasa seperti demam, batuk TANPA perlu membuat temujanji. Ini berbeza dengan keadaan di sini di mana pesakit akan diberikan temujanji walaupun cuma sakit biasa.

Sudahlah begitu, selalunya yang sakit seorang. Alih-alih satu famili sakit sekali.

'Multi-tasker'

"Terdapat pelbagai jenis klinik atau hospital yang menyediakan pelbagai jenis rawatan sama seperti negara lain di dunia ini. Setiap klinik di sini hanya memberikan khidmat yang berhubungkait dengan kepakaran mereka sahaja."


Tidak seperti di negara-negara barat seperti Jerman dan United Kingdom. Di Malaysia kami berkerja seperti 24jam lagaknya. Saya selalu membawa pulang preskripsi pesakit untuk pengiraan QAP dan KPI. Kadangkala hujung minggu secara tiba-tiba terpaksa membuat order bulanan ubat-ubatan atau vaksin disebabkan bajet tergempar dan harus diselesaikan segera.

Kenapa bawa pulang kerja ke rumah?

Sekali lagi ingin ditegaskan, lambakan pesakit. Selalu saja kami beroperasi pada waktu tengah hari sehingga 1:45pm. Pernah saja balik kerja pukul 6pm. Siapa kata kerja klinik balik waktu pejabat memang silap besar!

Ini saya terangkan dari segi perkhidmatan farmasi sebab kamilah kaunter paling akhir dijenguk orang tapi paling tidak dipedulikan dan profession yang dilupakan :)

Multi-tasker? Apa maksudnya? Maksudnya sayalah arkitek, sayalah penjaga budget, sayalah tukang sapu sampah, sayalah plumber, tukang baiki sistem QMS (calling number), tukang buat report KPI, QAP, medication error, tukang order ubat, tukang baiki pintu, tukang buat quotation dan sebagainya.

Adalah amat sukar untuk mendapat peruntukan membesarkan farmasi serta memperbaiki fasiliti sedia ada. Selalu sahaja mesin QMS (calling number) rosak, tidak diperbetulkan sehingga berbulan-bulan. Malah farmasi saya pernah rosak mesin QMS sehingga 6 BULAN lamanya!

Bayangkan, setiap hari kami terpaksa menjerit dan melaungkan nama pesakit sebab pesakit hilang entah kemana. Berbondong-bondong bakul ubat bersusun di atas rak. Bukan tidak dibuat aduan, tapi tindakan yang sampai adalah amat lambat. Jawapan yang selalu saya terima; 'Pejabat tak ada budget'. Walhal masalah quotation yang tidak relevan dan malas mencari supplier yang menyebabkan pengurusan kewangan tidak betul.

Bila QMS elok, masalah lain pula timbul. Pesakit meletakkan preskripsi atau buku mereka TANPA mengambil nombor! Walaupun terpampang 'signage' menyuruh pesakit mengambil nombor, masalah yang sama kerapkali berlaku dan berulang-ulang.

Hakikatnya, kebanyakkan mereka 'pelanggan tetap'. Lalu membuatkan saya berasa pelik. Kalau kita ke bank tahu saja mengambil nombor, bukan?

Di United Kingdom, sama seperti Jerman. Setiap orang mempunyai 'task' tersendiri. Health Officer adalah orang yang bertanggungjawab mengambil tahu tahap kesihatan pada bayi-bayi secara 'home-visit'. Mereka akan datang sendiri ke rumah. Malah mereka mengatakan mereka bukan jururawat yang sama di klinik NHS.

Tidak seperti di Malaysia, jururawat yang anda jumpa di klinik itulah juga jururawat yang akan melakukan 'home-visit'. Jururawat yang anda jumpa di klinik melakukan pelbagai tugasan. Ada banyak KPI yang terpaksa mereka capai yang bagi saya kadangkala memang di luar batasan. Ada pap-smear target, kelas antenatal, malah untuk kes kecemasan seperti 'home-labour' mereka jugalah yang akan bergegas secepat mungkin walaupun di waktu makan tengah hari!

Ada rakan bercerita ketika isterinya melahirkan anak di sini, setiap pekerja kesihatan yang datang melihat isteri dan anaknya adalah berbeza! Ada pakar pemakanan, fisioterapi, jururawat bahagian penyusuan dan sebagainya.

Setiap mereka punya tugas tersendiri.

Beban Kerja Yang Tinggi!

" Saya merasakan sangat jauh cara perkhidmatan atau cara kerja atau servis yang diberikan oleh doktor di sini. Saya pernah mengunjungi klinik keluarga, klinik gigi, klinik wanita, klinik kanak-kanak dan juga hospital."

Di Malaysia, tiada istilah specialization. Semuanya under 'one-roof'. Kononnya memudahkan. Memudahkan untuk rakyat, membebankan untuk kami di bahagian kesihatan! Di klinik kesihatan yang kecil itulah klinik keluarga, gigi, wanita dan kanak-kanak.

Betul tak?

Dengan segala-galanya di bawah satu bumbung dan tenaga kerja yang tidak mencukupi, saya percaya kadar stress kami di bahagian kesihatan adalah amat tinggi. Tambahan pula semua pesakit mahu cepat. Mahu segera pulang. Mahu segala-galanya siap dengan pantas. Tapi pesakit enggan berkerjasama, datang pada waktu yang tidak ditetapkan, memotong barisan serta tidak mengambil nombor. Pesakit juga kerapkali mengherdik dan membuat laporan yang tidak berasas kepada JKN.

Natijahnya? Kami terpaksa menjawab. NCR tepaksa di keluarkan kepada pihak atasan.

Di bahagian farmasi, ubat-ubatan datang bukanlah dalam bentuk siap berpack. Penolong Pegawai Farmasi akan unpack segala bulk-purchase dan repacking. Label kembali dengan tulisan, arahan baru dalam bentuk bekalan sebulan, dua, atau tiga bulan! Segalanya bergantung kepada temujanji dengan doktor. 

Tugas kami di farmasi bukanlah semudah, ambil ubat dan bagi!

Kami perlu screen, filling dan dispense. Akan tetapi tiga perkara ini adalah amat sukar dicapai sekiranya matlamat utama adalah mempercepatkan segala servis dengan adanya lambakan pesakit. Sebab? Terpaksa mengejar 30 minit masa menunggu! 

Farmasi kaunter akhir. Memang pesakit sudah 'hilang sabar' bila sampai di tempat kami :) Bayangkan, dengan jumlah pesakit yang keseluruhannya mencecah hampir 600+ sehari, kaunter farmasi saya cuma ada tiga orang. Dua dispense. Seorang filling. Seorang membuat kerja repacking. Seorang lagi membuat kiraan stock di stor.

Bila salah seorang dari kami bercuti, memang patah kaki dibuatnya!

Itu belum lagi bila sistem TPC (komputer) untuk preskripsi hang, ataupun saya terpaksa membuat kaunselling, menjalankan MTAC. Kaunter yang tadinya tiga orang tinggal dua! Bila yang packing ke kaunter, kerja packing pula tergendala.

Sistem kesihatan di Malaysia sangat mengecewakan saya. Cita-cita ingin memberikan perkhidmatan terbaik ketika di universiti punah sebaik saja saya melangkah ke dunia sebenar pekerjaan. Ianya tidak seindah mimpi.

Ubatan Percuma

Saya amat menyokong baik usaha membuat insurans bagi bidang kesihatan walaupun rakan baik saya, seorang doktor membangkang. Kata beliau, Malaysia dah memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik
dengan ubatan percuma!

Bagi saya, itu silapnya. Ubatan sahaja tanpa cara pengambilan yang betul, sikap yang betul tidak akan dapat membantu pesakit. Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai penyakit kronik bertahun-tahun lamanya akan tetapi mereka TIDAK TAHU mengenai penyakit mereka, cara pengambilan ubat serta dos mereka selalunya SALAH!

Walaupun telah diberitahu berulang-ulang kali, serta dilabelkan pada sampul ubat, saya kerapkali mendapat pesakit yang masih mengambil dos lama. Bila ditanya, "Saya dah bertahun dah makan ubat ni. Memang macam tu makannya".

Saya merasakan servis kami adalah amat rendah kualitinya disebabkan hanya mengejar KPI masa dan lambakan pesakit. Pesakit tidak tahu penyakit mereka, tidak makan ubat dengan cara yang betul, tidak mengamalkan diet yang betul malah....membazir.

Sekiranya kami melakukan HMR (Home Medications Reviews), pasti ada lambakan ubat yang tidak dimakan, luput tarikhnya, tidak disimpan dengan betul dan sebagainya. Sedih melihat jutaan ringgit terbazir begitu saja.

Bayaran RM1 tetapi minta layanan seperti Raja!

Kami dikerah supaya cepat, berikan ubat lebih dan sebagainya. Sekiranya tidak pesakit selalunya akan marah-marah dan membuat aduan kepada pihak atasan.

Kesimpulan

Di bandingkan dengan negara maju, Malaysia jauh ketinggalan kerana mentaliti kelas ketiga. Segalanya harus class, harus cepat, harus mendahulukan pesakit. Customer is always right. Akan tetapi sikap orang Malaysia yang menyebabkan sistem semakin tenat.

Bagi saya, insurans kesihatan serta dispensing seperation adalah perlu! Tiada istilah ubat percuma kerana apalah gunanya percuma sekiranya tidak dihargai. Apalah gunanya percuma sekiranya akhirnya ubat-ubatan luput tidak digunakan.

Malah, disebabkan ini juga penyakit kronik di Malaysia semakin menjadi-jadi. Sikap orang Malaysia yang tidak mengamalkan diet yang betul serta malas membaca amat mengecewakan. Belum lagi dikira sikap 'demanding'. Saya pekerja kesihatan tapi saya juga pesakit. Bila saya duduk di tempat pesakit tapi memahami keadaan pekerja kesihatan, saya bertoleransi.

Dengan dispensing seperation, pesakit boleh mengambil ubat dari mana-mana farmasi yang dia inginkan pada bila-bila masa.  Insurans kesihatan akan membantu kos perubatan. Secara tak langsung, beban kerja akan berkurangan di klinik kesihatan.

Malah, segala servis 'under one roof' yang kononnya memudahkan pesakit adalah tidak relevan sekiranya inginkan servis yang bagus. Kami manusia. Kami juga punya limitasi. Bukannya robot yang boleh memuaskan hati semua pihak.

Di Malaysia, kaunter kecemasan di hospital seringkali disalahgunakan. Kes-kes seperti demam dan batuk semata-mata untuk mendapat MC keesokkan harinya adalah taktik usang dan membosankan. Saya percaya sekiranya sistem temujanji untuk sakit biasa dipraktikan, lambakan pesakit dapat dikurangkan. Malah, yang ber'pura-pura' sakit dapat kita saring secara lebih praktikal.

Pernahkah anda sebagai pesakit, selami apa yang kami pekerja kesihatan alami?

Pernahkah anda ucapkan terima kasih ikhlas dari hati?

Pernahkah anda membaca dahulu sebelum bertanya?

Sekiranya pernah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih. Besar harapan saya agar suatu hari nanti sistem kesihatan di Malaysia dapat dipertingkatkan dan kami mampu memberikan servis terbaik bertaraf dunia!



***

Nota kaki:
Kita inginkan segalanya terbaik, namun adakah kita sanggup membayar 'harga'nya?